minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MINDA MINGGUAN

ISU SUQIU: SANDIWARA TERBAIK UMNO DEKAD INI

Saya merasa terpanggil untuk membicarakan isu Suqiu ini setelah melihatkan pendirian beberapa buah laman pro reformasi yang masing-masing berbuat demikian. Saya berharap penulisan ini adalah yang terakhir dari saya berhubung isu Suqiu dan kali ini kita cuba menyelami sejauh mana hakikat tuntutan (yang sebenarnya rayuan) yang didakwa, berbanding dengan wawaran yang telah diperbesar-besarkan oleh media perdana atas kehendak seorang diktator tua yang mencapai tahap 'tidak siuman' lagi.

Saya masih ingat di suatu ketika Kemang Suasa pernah menulis akan akibat beberapa pemimpin dunia yang pernah berkunjung ke Mesir. Sumpahan Mesir yang dipercayai mengena terhadap beberapa pemimpin dunia itu mungkin sudah benar-benar terpalit ke atas pemimpin Malaysia yang menduduki takhta Perdana Menteri saat ini. Justeru itu tidaklah ada salahnya saya cuba menyangkutkan perkataan 'tidak siuman' terhadap Mahathir Mohamad yang jika kita tafsirkan tingkah laku yang ditunjukkannya itu sudah menggambarkan sifatnya.

Saya juga agak terkejut dengan berita yang mengatakan Mufti Negeri Perak Datuk Harussani Zakaria menangis tersedu-sedu di atas mimbar Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh Jumaat lalu. Nampaknya isu ini menerima perbincangan hebat para netters di FGR (Forum Gerak Reformasi) yang masing-masing dengan pendapatnya. Apa yang patut kita insafi dari war-waran ini ialah betapa hebatnya gerak gempur yang dimainkan oleh media perdana dan kepimpinan UMNO/BN untuk meletakkan isu Suqiu ditakhta perbahasan rakyat sehingga memperdayakan seorang yang bertaraf ulama dan dihormati di kalangan masyarakat setempat.

Apa yang tersirat di sebalik isu Suqiu ini adalah sebenarnya satu drama yang terancang untuk menjerat beberapa orang pemimpin dari parti-parti Barisan Alternatif. Kita sudah lihat perkara ini berlaku apabila Ruslan Kassim, Tian Chua, Gobalakrishnan serta empat yang lain sudah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan 'merusuh'. Jika dikaji dari sudut kebenaran memanglah peristiwa itu bukan merusuh kerana apa yang terjadi sebenarnya hanya 'perang mulut' di antara Ezam atau Azmin dengan Khalil Yaakub, Setiausaha parti purba UMNO. Saya masih ingat perkataan 'lubang yang sama' yang dituturkan Ezam terhadap Khalil Yaakub dalam pertengkaran pada 29 November itu membuatkan mulut Khalil terkunci rapat. Kita menyangka dengan 'penekanan' bahawa Ezam tahu sebenarnya tembelang UMNO/BN (kerana beliau dulu adalah orang UMNO juga) dalam isu pengundi hantu, tetapi Mahathir benar-benar mahu menafikannya. Sebaliknya menggunakan isu ini untuk membalas dendam dengan memperalatkan jentera polis yang sudah turut 'gila' sebagaimana peri laku diktator tua itu.

Malangnya seorang mufti di negeri Perak tidak menyedari hakikat ini. Beliau mungkin benar-benar warak dan lurus, tetapi seorang pemimpin seperti beliau perlu ada pengetahuan semasa yang kemaskini sentiasa, terutama apabila mahu berdepan dengan rakyat yang sudah terkedepan dari segi informasi. Dato Harussani tidak begitu pandai dalam ilmu IT. Komputer di pejabatnya masih menggunakan perisian lama dan dua orang pegawai bawahan khasnya (seorang Kerani dan Pegawai Tadbir) bukanlah dari celik IT. Justeru itu mereka masih mengamalkan budaya kerja menggunakan sistem manual walaupun komputer sudah bercambah di pejabat mereka.

Pejabat Mufti negeri Perak yang terletak di aras satu Bangunan Kompleks Darul Ridzuan itu pernah dicabar oleh beberapa kerat manusia yang tidak puas hati tentang pengurusan baitul-mal negeri Perak. Juga beberapa kakitangan di bangunan itu sendiri yang seringkali terlibat dengan salah laku seperti 'ditangkap khalwat' atau minum arak. Juga seorang kerani lelaki yang masih membujang di usianya mencapai empat puluhan. Semuanya ini tidak pernah Harussani ambil kira. Dengan bertutur di atas mimbar melaung-laungkan perpaduan ummah ajakan beliau itu tidak hendak saya sangkal. Namun ianya lebih malang apabila beberapa peristiwa yang memalukan pentadbiran agama negeri itu tidak pernah diambil perhatian.

Kita baru melalui satu peristiwa 'memalukan' di negeri itu apabila sepasang suami isteri ditangkap khalwat. Kini isu itu masih tergantung kerana diberitakan suami isteri berkenaan akan mengheret Jabatan Agama Islam Negeri Perak ke muka pengadilan. Walaupun pentadbiran Jabatan Agama Islam dan Mufti Negeri Perak berbeza, namun dapatkah Harussani melarikan diri dari tanggungjawabnya sebagai Ketua Agama dalam pentadbiran negeri Perak. Sudahlah kini sultan hanya lambang sahaja, maka kini jawatan mufti juga di ambang lambang yang mahu menempa arkibnya tersendiri.

Apa kaitannya isu suqiu sehingga mengheret Harussani melafazkan perkataan itu di atas mimbar masjid? Paling malang apabila beliau mengungkapkan membaca berita ini dari akhbar Utusan Malaysia yang sudah menerima nama jolokan 'Utusan Meloya' akibat berita fitnah yang membosankan! Tidakkah seorang mufti bertaraf ulama itu menyedari bahawa beliau termakan fitnah media di sekelilingnya. Tidakkah kebodohan atau kejahilan seorang mufti dalam isu semasa di negaranya telah mengheret beliau membawakan satu fatwa yang songsang lagi disangsikan?

Seorang penganalisis politik yang baik pasti dapat melihat pendekatan tersendiri dalam isu suqiu. Seorang sahabat pernah berkata kepada saya isu suqiu hanyalah satu sandiwara. Hujah beliau lagi, apakah yang membuatkan UMNO/BN bimbang tentang isu itu kerana Jawatankuasa perayu (Suqiu) berkenaan baru di peringkat merayu, manakala proses pertimbangan dan kelulusan hanya ada di tangan BN. Ulasnya lagi, ibarat seorang anak yang diberikan wang saku satu ringgit sehari, menuntut kenaikan kepada RM5 sehari, apakah perlu kita menghebohkan kepada jiran atau mencanangkan tuntutan itu ke seluruh desa atau perkampongan atau taman jika tinggal di kawasan perumahan. Bukankah kuasa melulus (veto) itu ditangan seorang bapa? Sama ada mahu diberikan atau ditolak permintaan itu. Jika anak itu mengugut akan melakukan perbuatan yang lain akibat tidak dipenuhi permintaannya, seorang ayah boleh menghukumnya atas kedegilan itu.

Jika perbandingan itu dibawa ke dalam konteks rayuan suqiu maka jelas kepada kita yang memiliki kuasa untuk menerima atau menolak tuntutan (rayuan) Suqiu adalah terdiri dari pak-pak menteri atau ahli-ahli kabinet yang kesemuanya dari BN. Jika benar ada ugutan oleh sesiapa dari suqiu hendak mencetuskan rusuhan atau permusuhan, 'simpankan' sahaja mereka itu di Kamunting, Perak selama beberapa tahun demi kebaikan bersama, sebagaimana pernah dilakukan dalam operasi lalang atau seumpamanya yang pernah berlaku kepada pemimpin PAS suatu ketika dulu.

Maka dari sini jelaskan kepada kita bahawa penekanan isu suqiu ini sebenarnya hanyalah satu sandiwara terbaru UMNO/BN untuk mengugut bangsa Melayu memusuhi kaum lain dengan cara terhormat. Malangnya agenda UMNO/BN itu ditolak oleh rakyat yang celik politik dan tidak mudah termakan dengan hasutan para pemimpin UMNO/BN dan para juaknya. Hanya amat malang apabila agenda fitnah itu 'termakan' oleh seorang mufti bernama Harussani Haji Zakaria' mungkin kerana beliau terpaksa menutup sebelah mata atas beberapa keping tanah yang telah dianugerah oleh kerajaan negeri Perak kepada beliau, atau gelaran Dato' yang sudah pun diterimanya sejak beberapa tahun lalu.

Lebih malang kebusukan isu suqiu yang diwar-warkan oleh pemimpin UMNO/BN dan media perdana disahut di sana sini sehingga seekor katak yang berada di bawah tempurung mampu membuat lompatan jarak jauh yang baik, menangkis tempurung yang menutupi persekitarannya yang selama itu gelap dan sunyi. Jika pemimpin UMNO/BN pernah menafikan perbuatan berpolitik di masjid, kita ingin bertanya siapa pula kini menggunakan masjid untuk tujuan berpolitik? Jika selama ini tuduhan ke atas pembangkang jangan mainkan isu perkauman, maka hakikatnya kini siapa yang memainkan isu perkauman itu?

Kita ingin mencabar Datuk Seri Ling Liong Sik yang mengetuai kaum Cina dalam MCA dan Datuk Seri Lim Kheng Yeik dari parti Gerakan. Apakah kamu merelakan UMNO parti purba itu memainkan sentimen perkauman sehingga menafikan hak anda sebagai seorang warga negara di bumi Malaysia yang merdeka?

Kembali kepada beberapa lamanweb pro reformasi yang memperbetulkan pendirian mereka atas isu suqiu ini, Minda Rakyat ingin menegaskan bahawa agenda perkauman belum pernah menjadi satu ciri perjuangan yang dibawa. Matlamat menubuhkan sebuah negara Islam yang dicita-citakan adalah menjamin keadilan bagi semua bangsa dan semua kaum hidup harmoni dan bertoleransi dalam sebuah negara yang merdeka tetapi tunduk kepada sistem yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan Madinah telah muncul sebagai negara Islam pertama sebagai 'role model' kepada impian ini. Ciri-ciri ini pernah dibincangkan oleh Ustaz Ali Muda dan sila rujuk artikel yang berkenaan untuk penerangan yang lanjut.

Kesimpulan yang dibuat dari isu suqiu ini ialah bahawa betapa ianya hanyalah satu sandiwara UMNO/BN untuk meraih kembali sokongan orang Melayu UMNO yang mengalami perpecahan yang meruncing. Sebaliknya rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama bersatu dan mengeratkan perpaduan dalam parti-parti Barisan Alternatif dan meninggalkan UMNO/BN yang disifatkan parti purba dan layak diarkibkan di muzium sahaja. Perpecahan yang diwar-warkan oleh mufti negeri Perak Jumaat lalu lebih kepada sifat kejahilan peribadi beliau atas isu semasa yang berlaku. Kelemahan menguasai isu semasa dan perkembangan politik tanah air menyebabkan beliau 'terperangkap' dalam agenda fitnah Mahathir dan para juaknya.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa Minda Rakyat sekali-kali tidak termakan isu suqiu yang diwar-warkan, namun menyediakan medan perbahasan untuk memberikan laluan kepada rakyat negara ini mencanai minda dan membuka fikiran dalam sesuatu perkembangan politik tanah air. Perjuangan mencegah kezaliman dan menegakkan keadilan akan terus menjadi agenda MR sehingga terlaksananya sebuah negara Islam yang membenarkan hukum Allah tertegak di muka bumi ini.

ALLAHHUAKBAR!!

  

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter